Dua gol Safiq benam Perak 3-1



Pemain Selangor Safiq Rahim (tengah) Meraikan gol pertama selangor ke atas Perak dalam perlawanan Piala Malaysia di Stadium Shah AlAM.
SHAH ALAM, (D5) - Dua gol sepakan percuma yang menarik daripada Safiq Rahim memberikan pasukan tuan rumah, Selangor kemenangan selesa 3-1 ke atas Perak pada perlawanan pusingan pertama Piala Malaysia 2011 yang berlangsung di Stadium Shah Alam malam ini.


Gol pertama Safiq hadir pada minit 12 permainan apabila dia menggunakan kepakarannya dengan tenang menyepak bola untuk menewaskan penjaga gol Perak, Kamarul Effandi Abd Rahim yang sekadar terkaku melihat bola tersebut masuk menerjah jaring.
Perak gagal mengekalkan momentum seperti yang dipamerkan mereka seawal 10 minit permainan, berbeza dengan S'gor yang bijak mengambil peluang.
Perak mempamerkan penguasaan seawal permainan dengan beberapa gerakan dan hantaran bola tepat sesama pemain.
S'gor yang lambat mendapat rentak kemudiaannya bangkit selepas memperoleh gol semangat dan melancarkan serangan bertali arus.
Para pemain Perak nyata tersentak dan bermain dalam keadaan tertekan sehingga melakukan beberapa kesilapan di dalam kawasan sendiri.
Pemain lincah S'gor, Md Fitri hampir menghukum benteng pertahanan Perak buat kali kedua tetapi mujur bola yang dirembatnya sedikit terkeluar daripada tepi pintu gol yang dikawal Kamarul Effandi Abd Rahim.
Menyedari kubu Perak yang semakin goyah, jurulatih Norizan Bakar melakukan pertukaran pada babak akhir permainan dengan memasukan Shahrulnizam Mustafa (min 38) bagi menyekat kemaraan para pemain S'gor.
Kedudukan 1-0 kekal pada separuh masa pertama.
Bersambung separuh masa kedua, Selangor meneruskan penguasaan mereka apabila berjaya menambah dua gol lagi juga menerusi Safiq dan Amirulhadi Zainal.
Corak permainan kedua-dua pasukan semakin rancak dan agresif dengan masing-masing melancarkan serangan ke arah kubu lawan masing-masing.
Namun, anak buah P. Maniam lebih bijak menggunakan pengalaman dan kelebihan bermain ditempat sendiri apabila mengambil kesempatan yang dimiliki sepanjang separuh masa kedua.
Perak nyata tidak belajar daripada kesilapan pada separuh masa kedua apabila mudah memberikan sepakan percuma dihadapan kotak penalti kepada S'gor.
Pakar sepakan percuma S'gor, Safiq sekali lagi menjadi pemusnah buat Perak apabila menyumbat gol keduanya pada minit ke-57 dengan satu sepakan percuma menarik yang menjunam masuk sudut kanan pintu gol Perak, Kamarul Effandi.
Tersentak dengan gol kedua tersebut, Norizan tiada pilihan apabila membuat rombakan drastik ke atas skuadnya dengan memasukan dua pemain iaitu Akmal Rizal dan Isma Alif Md Salim.
Namun, selang tiga minit kemasukan pemain gantian Perak tersebut Selangor menambah derita Perak apabila pemain sayap Md Amirulhadi Zainal yang tidak dikawal rapi pertahanan Perak menyumbat gol ketiga pada minit ke-62.
Meskipun ketinggalan 3-0, anak buah Norizan tidak mudah mengaku kalah sebaliknya terus mempamerkan kebangkitan sepanjang baki perlawanan.
Usaha para pemain Perak akhirnya membuahkan hasil apabila mengutip gol saguhati pada malam ini menerusi Md Failee Mohamad Ghazli yang bijak menyambar bola daripada pertahanan S'gor sebelum melepaskan satu rembatan menewaskan penjaga gol G. Jeevananthan pada minit 75.
Gol tersebut nyata memberi semangat buat Perak yang mula mendapat keyakinan dan bermain secara lebih teratur.
Asakan demi asakan Perak nyata memberi tekanan buat Selangor hingga menyebabkan pemain utama mereka Bunyamin Umar dilayankan kad kuning kedua pada minit 77 dan terpaksa bermain dengan 10 pemain.
Menyedari kelebihan yang ada, para pemain Perak mula mengatur gerak serta melancar serangan ke setiap sudut pintu gol lawan.
Pemain yang baru menamatkan tempoh penggantunggan, Akmal Rizal mencuri tumpuan sepanjang 10 minit terakhir permainan apabila berjaya mengkucar-kacirkan pertahanan lawan namun usahanya masih tidak memadai kerana pertahanan S'gor bijak mempertahankan kubu mereka daripada terus dibocori.
Keputusan 3-1 kekal hingga tamat aksi 90 minit permainan.
Dalam pertembungan Pantai Timur, Terengganu menang 3-1 di tempat sendiri ke atas Kelantan yang menyaksikan lima kad merah dilayangkan buat kedua-dua pasukan.

Sabah bakal berkunjung ke Kuala Terengganu dengan keputusan tidak menyebelahi mereka apabila tumbang 2-1 kepada T-Team.



... Lain-lain Berita