Stadium Shah Alam jadi pilihan



BERITA gembira buat skuad Selangor!Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengesahkan pentas final Piala Malaysia 2011 akan berlangsung di Stadium Shah Alam, Selangor pada 29 Oktober ini.
Ia pastinya sesuatu yang menggembirakan bagi peminat skuad Gergasi Merah yang mempamerkan prestasi cemerlang, sekali gus berada di landasan tepat setelah membelasah Perak 3-1 pada aksi suku akhir pertama di gelanggang sendiri kelmarin.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, keputusan itu diambil kerana venue final sebelum ini iaitu Stadium Nasional, Bukit Jalil masih dalam proses penyelenggaraan.
Menurut Azzuddin, lokasi yang strategik iaitu berada di kawasan Lembah Klang antara faktor utama Stadium Shah Alam dijadikan sebagai pentas final pada Piala Malaysia musim ini.
“Selepas pihak FAM dimaklumkan bahawa Stadium Nasional, Bukit Jalil tidak dapat digunakan kerana kerja-kerja penyelenggaraan trek, kami (FAM) merasakan pemilihan Stadium Shah Alam sebagai pentas akhir Piala Malaysia sebagai jalan yang tepat.
“Ini kerana, syarat-syarat venue untuk peringkat akhir Piala Malaysia haruslah berada di dalam kawasan Lembah Klang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Berita itu pasti menjadikan perangsang yang terbaik buat skuad Selangor yang memburu ‘Misi 33’.
Apa yang pasti, impian menjulang piala paling berprestij tanah air di laman sendiri akan menjadikan kejayaan itu lebih manis dan bermakna buat skuad kendalian P. Maniam nanti.
Sementara itu, Azzudin sempat mengulas mengenai pengadil, Mohd. Nafeez Abd. Wahab yang melayangkan lima kad merah dan sebelas kad kuning ketika Terengganu menentang Kelantan di dalam pertemuan suku akhir pertama.